KEMERDEKAAN MALAYSIA - SOROTAN MENUJU HARI KEMERDEKAAN
PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON
18 Januari 1956 – Satu persidangan yang dinamakan Persidangan Malaya Merdeka bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah diadakan di Lancaster House, London. Persidangan Meja Bulat ini dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British.
Persidangan yang berlangsung pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 yang mengambil masa selama 3 minggu membincangkan masalah-masalah seperti :-
- Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’
- Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
- Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.
PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
Hasil daripada Persidangan Malaya Merdeka, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Perjanjian London telah ditandatangani pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London.
Perjanjian ini ditandatangani di antara YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah jajahan British bagi pihak Kerajaan British.
Beberapa perkara penting telah dipersetujui di dalam rundingan tersebut iaitu:
- Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
- Institusi raja berpelembagaan dikekalkan.
- Pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan.
- Pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal perlembagaan merdeka.
- Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingan Barat di Tanah Melayu.
- Satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.
PENGISTIHARAAN TARIKH KEMERDEKAAN DI PADANG BANDAR HILIR MELAKA
Pada 20 Februari 1956, Rombongan Merdeka telah selamat kembali ke Tanah Melayu. Kepulangan mereka telah disambut dengan meriah dalam satu perhimpunan besar-besaran yang telah diadakan Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Tunku Abdul Rahman Putra kemudiannya telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
SURUHANJAYA REID
Susulan daripada itu juga pada 21 Mac 1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan pada 1 Ogos 1957.
ROMBONGAN KEMERDEKAAN PULANG DARI LONDON
Pada 3 Jun 1957, satu perhimpunan menyambut ketibaan Rombongan Kemerdekaan ke London yang merundingkan hal berkaitan dengan Rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di LapanganTerbang Tentera Udara, Sungai Besi,Kuala Lumpur. Lebih dua ribu orang telah berkumpul bagi menyambut kepulangan seramai 7 orang anggota rombongan yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
PEMILIHAN YANG DI-PERTUAN AGONG PERTAMA
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Merdeka telah diadakan pada 3 Ogos 1957 dalam satu Persidangan Khas Raja-raja Melayu di Dewan Mesyuarat Majlis Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan khas dan bersejarah ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah dan dihadiri oleh semua Raja-raja dan Sultan kecuali Sultan Johor yang berada di Eropah dan diwakili oleh Tengku Mahkota. Persidangan bersejarah ini menyaksikan buat pertama kalinya pemilihan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diadakan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka. Pemilihan ini dilakukan mengikut Bahagian 4, Artikel 32, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tunku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu Merdeka, manakala Tunku Sir Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaudin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
PEMILIHAN LAGU KEBANGSAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
Upacara Pemilihan Lagu Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka telah diadakan pada 5 Ogos 1957 bertempat di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur. Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Persekutuan Tanah Melayu. Lagu 'Terang Bulan' lagu kebangsaan negeri Perak dipilih sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu kerana mempunyai unsur-unsur kemelayuan. Keputusan pemilihan ini kemudiannya dikemukan untuk diperkenankan oleh Majlis Raja-raja Melayu.
PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DI TANDATANGANI
Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara Raja-raja Melayu dengan Sir Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak Queen Elizabeth II pada 5 Ogos 1957. Upacara bersejarah yang berlangsung di King's House, Kuala Lumpur ini menyaksikan seramai 15 orang penandatangan utama yang terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, 8 orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan 5 orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (Selain daripada Yang di-Pertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penandatangan telah menandatangani perjanjian ini. Menurut artikel 3 perjanjian ini, menyatakan bahawa mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat akan ditubuhkan menjadi satu Persekutuan Melayu baru yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggeris ialah The Federation of Malaya. Perjanjian ini mula berkuatkuasa ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British.
PENGUMUMAN PERLANTIKAN GABENOR PULAU PINANG DAN MELAKA
Pada 10 Ogos 1957, perlantikan gabenor Pulau Pinang dan Melaka yang pertama telah dimulakan. Pengumuman perlantikan ini dibuat apabila persetujuan di perolehi di antara DYMM Baginda Queen dan Raja-Raja Melayu selepas berunding dengan Ketua Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Raja Sir Tun Uda bin Raja Mohamad telah diumumkan sebagai Gabenor Pulau Pinang dan Tun Leong Yew Koh sebagai Gabenor Melaka.
Raja Sir Tun Uda yang dilahirkan dalam tahun 1894 adalah bekas penuntut Maktab Melayu Kuala Kangsar. Beliau mula berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Pentadbiran Malaya dalam bulan Oktober 1910.
15 OGOS 1957 RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DULULUSKAN.
Rang Undang-Undang tersebut telah diluluskan dengan sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Undangan Federal yang telah memberikan taraf Kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang ini bererti mulai 31 Ogos 1957, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Pulau Pinang dan Melaka akan menjadi sebuah Persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu dan ini telah memberi pengiktirafan kepada sebuah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat dan merdeka.
28 OGOS 1957 PENGUMUMAN JEMAAH KABINET YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKA
Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dalam satu persidangan akhbar di Kuala Lumpur telah mengumumkan mengenai anggota jemaah yang akan menduduki Kabinet selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia melibatkan perubahan ke atas kesemua ahli-ahli kabinet yang sedia ada. Antara yang menganggotai Kabinet baru yang dicadangkan oleh Tunku ini ialah Dato' Abdul Razak bin Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan); Kolenel Sir Henry Han Shik Lee (Menteri Kewangan); Encik Sulaiman b. Dato' Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan); Encik Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perusahaan); Encik V.T. Sambanthan (Menteri Kesihatan); Encik Mohamad Khir Johari (Menteri Pelajaran); Encik Ong Yoke Lin (Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat); Encik Abdul Rahman b. Hj. Taib (Menteri Pengangkutan); Encik Bahaman Samsudin (Menteri Hasil-hasil Bumi); Encik Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian); Encik Sardon Hj. Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Talikom); dan Dr. Ismail b. Dato' Abdul Rahman. Menteri Mutlak (Tidak Berjawatan) dan Wakil ke Bangsa-bangsa Bersatu serta Duta ke Washington.
DUKE GLOCESTER WAKIL BAGINDA QUEEN DATANG UNTUK UPACARA KEMERDEKAAN
Pada hari Khamis, 29 Ogos 1957, dua hari sebelum tarikh perayaan Kemerdekaan, Duke Duchess of Glocester serta puteranya tiba di lapangan terbang Kuala Lumpur. Duke of Glocester ialah bapa saudara kepada Queen Elizabeth dan beliaulah yg menjadi Pegawai Peribadi Baginda Queen didalam perayaan merdeka dan untuk tujuan menyerahkan surat perlembagaan bagi menarik balik kuasa British menaungi Negeri-Negeri Melayu dan Kedaulatan Mahkota British ke atas Pulau Pinang dan Melaka, kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu ,Tunlu Abdul Rahman Putra Al-Haj,di dalam istiadat Perisytiharaan Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 .
TUNKU ABDUL RAHMAN DIKURNIAKAN GELARAN BAPA KEMERDEKAAN
YTM Tunku Abdul Rahman Putra ketua menteri persekutuan tanah melayu telah dianugerah dengan gelaran "Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu " pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor. Anugerah gelaran ini merupakan penghargaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra sebagai mengenang jasa Tunku dalam membebaskan tanh air daripada cengkaman penjajah Inggeris.
PERASMIAN STADIUM MERDERKA
Pada 30 Ogos 1957, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengisytiharkan pembukaan Stadium Merdeka. Stadium yang bernilai sebanyak $2.3 juta ini telah dimulakan pada 25 September 1956 dan perletakan batu asas Stadium ini telah disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 15 Februari 1957. Stadium ini ialah tempat Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 31 Ogos 1957.
BENDERA UNION JACK DITURUNKAN DI MELAKA
Pada 30 Ogos 1957, bendera Inggeris 'Union Jack' telah diturunkan di Padang Bandar Hilir, Melaka. Upacara penurunan bendera itu berlangsung dalam suasana hening, disaksikan oleh Residen Commisioner Inggeris di Melaka, Encik H. G. Hammett, bersama-sama dengan beribu-ribu rakyat jelata. Penurunan bendera telah dilakukan oleh dua orang anak kapal dari kapal perang H. M. S. Saint Brides Bay, kemudiannya diserahkan kepada Residen Commisionar Inggeris, Encik Hammett. Penyerahan bendera "Union Jack" kepada En. Hammett itu melambangkan berakhirnya penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Turunnya 'Union Jack' pada hari ini dalam tahun 1957, bermakna kibaran bendera itu tidak lagi menaungi negeri Melaka serta Tanah Melayu keseluruhannya. Maka Tanah Melayu adalah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta lepas bebas dari belenggu penjajah.
DETIK JAM TENGAH MALAM DI PADANG KELAB SELANGOR
Pada malam 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor, dibanjiri oleh ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelosok tanah air untuk menyaksikan detik bersejarah negara. Pada jam 11.58 malam, kereta yang dinaiki oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan diiringi oleh 30 buah motorsikal yang ditunggang oleh Pemuda Perikatan tiba di perkarangan padang. Lampu di kawasan tersebut kemudiaanya dipadamkan dan dinyalakan semula tepat jam 12 malam. Serentak dengan itu, bendera Union Jack diturunkan sebagai simbolik berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bendera ini dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu Kebangsaan 'Negaraku' yang diperdengarkan buat pertama kalinya dan diikuti dengan laungan 'Merdeka' sebanyak 7 kali.
PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYU
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan 'MERDEKA' sebanyak 7 kali dan di sambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan 'Negaraku'. Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016
Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016
Comments
Post a Comment